Wednesday, August 12, 2009
Apa erti islam
Tema surah-surah dalam juz 22 & 23: APA
MAKNA SERAH DIRI?
Matlamat surah-surah ini:
Kita semua tahu perkataan Islam bererti serah
diri (tunduk patuh, mengaku kalah) kepada
Allah.
Tetapi bagaimana cara serah diri?
Surah-surah ini memberikan huraian kepada
konsep serah diri ini.
Kupasan:
6 surah tersebut di atas memperkatakan makna
Islam dalam konteks berikut:
1. al-Ahzab – Serah diri kepada Allah
walaupun hidup dihimpit bermacam kesulitan
2. Saba' – Serah diri kepada Allah walaupun
hidup senang lenang dan sudah tercapai
tamadun gemilang.
3. Fatir – Serah diri kepada Allah dalam
mengejar gah dan kemuliaan.
4. Yasin – Serah diri dengan meneruskan
dakwah sekalipun tiada harapan manusia
menerimanya.
5. al-Saffat – Serah diri dengan mematuhi
perintah Allah sekalipun tidak memahami
hikmah di sebalik suruhan atau laranganNya.
6. Sad – Serah diri dengan bersegera kembali
dan bertaubat bila tergelincir.
Untuk memahami Islam, perlu diteliti keenamenam
surah ini.
Ini bukan bermakna kupasan yang diberikan
ini adalah kupasan menyeluruh.
Tiada manusia di zaman ini boleh mendakwa
dia memahami Islam dengan menyeluruh
kerana makna Islam terlalu luas.
Walaubagaimanapun 6 surah ini memberikan
gambaran penting tentang makna Islam.
1. Surah al-Ahzab.
Surah ini memperkatakan tentang sifat serah
diri kepada Allah di kala kesulitan.
Ia menampilkan beberapa model ikutan, kita
bincangkan hanya 3 darinya:
Model ikutan 1:
Dalam perang Ahzab (atau Khandaq), orang
Islam dikepung dari segenap penjuru dan
digoncang iman mereka.
"Dan ingatlah detik musuh datang
menghimpitmu dari atas dan dari bawah, lalu
penglihatanmu menjadi tak tentu arah dan
terasa seolah jantungmu naik ke
kerongkongmu lalu kamu menyangka
bermacam-macam sangkaan terhadap Allah
Detik inilah diuji orang beriman dan
digoncang pendirian mereka dengan
goncangan yang dahsyat." (Ahzab 10-11)
Bagaimana pendirian Nabi s.a.w. dan orang
mukmin?
"Apabila orang mukmin melihat tentera
bersekutu (yang menggerunkan dan besar
bilangannya) mereka berkata: "Inilah yang
telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada
kami dan benarlah janji Allah dan RasulNya."
Dan tidaklah tentera Ahzab itu memberi kesan
kepada mereka melainkan menambahkan iman
dan serah diri mereka kepada Allah." (Ahzab
22)
Ganjarannya ialah syahid.
"Di antara orang beriman ada yang bersungguh
mahu memenuhi janji mereka untuk berjuang.
Di antara mereka ada yang telah selesai
memenuhi janji mereka (dan gugur syahid) dan
di antara mereka ada yang masih menunggu
giliran. Dan mereka tidak berganjak dari janji
mereka sedikitpun." (Ahzab 23)
Model ikutan 2:
Satu lagi suasana perit yang dihadapi Nabi
s.a.w. ialah suruhan Allah supaya berkahwin
dengan bekas isteri anak angkatnya.
Zaid bin Harithah adalah seperti anak kandung
Nabi s.a.w. sendiri.
Bagaimana perasaan seorang ayah apabila
disuruh berkahwin dengan bekas isteri anak
sendiri?
Bagaimana pula tohmahan masyarakat?
Tetapi orang mukmin tiada pilihan melainkan
serah diri dan taat.
"Dan tidak harus bagi orang beriman lelaki dan
perempuan, apabila Allah dan Rasul telah
menetapkan sesuatu keputusan, untuk dia
membuat pilihan (samada untuk mematuhi
atau tidak)." (Ahzab 40)
Model ikutan 3:
Dalam suasana jahiliyyah di mana wanita
mendedahkan perhiasan (yakni badan), turun
ayat mewajibkan hijab (Lihat Ahzab 59).
Akhawat yang pernah ke luar negara dapat
menghayati perkara ini kerana di musim panas,
ramai wanita di Barat memakai t-shirt dan
seluar pendek tetapi wanita mukmin masih
melabuhkan pakaiannya. Ia bukan sesuatu
yang mudah dilakukan melainkan oleh mereka
yang diberi kekuatan oleh Allah.
Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud
Islam ialah tetap berserah diri kepada Allah di
dalam kesusahan.
Hikmah nama surah al-Ahzab: Peperangan
Ahzab merupakan simbol bagi kehidupan
orang mukmin yang tertekan.
2. Surah Saba'.
Surah Saba' juga memperkatakan tentang serah
diri kepada Allah, tetapi serah diri di kala
senang (seperti sekarang di Malaysia??) dan di
kala tercapainya tamadun gemilang.
Matlamatnya supaya tamadun tersebut
berkekalan dan Allah tidak menghantar bala
menghancurkan tamadun tersebut.
Surah ini menampilkan 2 model: Satu model
ikutan iaitu tamadun Nabi Daud dan Sulaiman
a.s. dan satu model sempadan iaitu tamadun
Saba'.
Model ikutan: Tamadun Nabi Daud dan
Sulaiman a.s.
Tamadun Nabi Daud dan Sulaiman a.s.
merupakan model tamadun yang sangat tinggi,
sangat berjaya, sangat tersebar luas dan
bertahan lama kerana ia tamadun yang
berserah diri kepada Allah, sehinggakan
gunung-ganang dan burung-burung bersama
bertasbih bersama Daud a.s. (lihat Saba' 10).
Daud a.s. dikurniakan kepandaian membuat
baju besi (Saba 11).
Sulaiman a.s. menggunakan angin untuk
membawanya ke tempat jauh dalam masa satu
pagi boleh sampai ke tempat yang biasanya
mengambil masa sebulan perjalanan (Saba 12).
Jin-jin menjadi pekerjanya membuat bangunan
tinggi. Ini model ideal tamadun yang berserah
diri kepada Allah.
Model sempadan: Tamadun Saba'
Tamdun Saba' juga suatu ketika merupakan
tamadun gemilang, tetapi penduduknya
berpaling engkar, lalu ia dibinasakan oleh
banjir besar.
Kebun mereka dulunya subur tetapi
dihapuskan.
Yang tinggal hanya pohon-pohon yang pahit
buahnya dan pohon-pohon yang jarang-jarang
berbuah serta beberapa pohon bidara (Saba'
16)
Perhatikan bahawa tamadun Islam yang
diasaskan Nabi s.a.w. boleh berdiri 1300 tahun
bukan kerana sains teknologi tetapi kerana
sifat serah diri kepada Allah.
Maka apabila sudah mula asyik dengan sains
dan teknologi khususnya di penghujung zaman
Abbasiyyah (zaman kegemilangan Islam?),
tamadun ini mula merosot dan akhirnya
dibinasakan Monggol.
Tiada salah sains dan teknologi selagi tidak
meletakkan harapan kepada sains dan
teknologi melebihi harapan kepada Allah...
Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud
Islam ialah tetap berserah diri kepada Allah
selepas mencapai kesenangan.
3. Surah Fatir
Surah ini mengajak mereka yang ingin
mendapatkan kemuliaan ('izzah) supaya
berserah diri kepada Allah.
"Sesiapa yang inginkan kemuliaan maka milik
Allah jualah segala kemuliaan." (Fatir 10)
Kemuliaan hakiki tidak didapati dengan
mendampingi orang tertentu atau dengan
menjadi sekutu negara tertentu. Kemuliaan
hakiki didapati dengan berserah diri kepada
Allah.
"Wahai semua manusia kamu semua fakir
(berhajat) kepada Allah. Dan Allah sahaja
yang Maha Kaya (tidak berhajat kepada
sesiapa) lagi Maha Terpuji." (Fatir 15)
Kenapa meletakkan harapan kepada manusia,
padahal segala-galanya adalah milik Allah?
Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud
Islam ialah tetap berserah diri kepada Allah
dalam mencari kemuliaan.
4. Surah Yasin
Surah ini memperkatakan bahawa antara tanda
berserah diri kepada Allah ialah bahawa kamu
meneruskan dakwah dan tidak kendur dalam
dakwah.
Ramai manapun manusia yang mendustakan
Islam, masih ada hati-hati yang masih hidup
dan menunggu-nunggu detik seseorang datang
mengajaknya kepada Islam.
Oleh itu teruskan dakwah demi hati-hati yang
hidup ini, walaupun usaha ini seolah-olah tidak
membawa sebarang hasil.
Ini penekanan surah Yasin.
Betul, majoriti manusia tidak respon kepada
dakwah seperti dinyatakan ayat-ayat di bawah
ini.
"Sesungguhnya telah tetap keputusan ke atas
kebanyakn mereka, lalu mereka tidak
beriman." (Yasin 7)
"Sesungghunya Kami jadikan bagi mereka
belenggu di leher yang memberkas hingga ke
bawah dagu, lalu mereka sentiasa terdongak
(kesombongan)." (Yasin 8)
"Dan Kami jadikan halangan di depan mereka
(supaya mereka tidak memikirkan tentang
akhirat) dan halangan di belakang mereka
(supaya mereka tidak ambil iktibar dari sejarah
kaum yang binasa) dan Kami tutup mata (hati)
mereka lalu mereka tidak melihat (jalan lurus).
(Yasin 9)
"Dan sama sahaja bagi mereka, samada engkau
beri peringatan atau tidak, mereka tetap tidak
beriman." (Yasin 10)
Semua ayat-ayat di atas adalah berkenaan
majoriti manusia yang tidak beriman.
Namun di kalangan manusia tidak beriman ini
masih ada golongan minoriti, yang memiliki
hati-hati yang masih mahu mendengar.
Sebagai contohnya lihat kisah sebuah bandar:
"Dan buatlah perumpamaan sebuah bandar..."
(Yasin 13).
Bandar ini diutuskan seorang rasul lalu
didustakan dan mereka tidak beriman.
Kemudian diutuskan rasul kedua, masih
mereka tidak beriman.
Lalu diutuskan rasul ketiga, hanya seorang
sahaja beriman.
Berbaloikah 3 utusan menggadai nyawa, tetapi
hasilnya hanya satu orang yang beriman?
Sudah tentu, kerana ia menunjukkan sifat serah
diri dan taat para rasul tersebut melaksanakan
apa yang disuruh tanpa memikirkan diri
sendiri.
"Dan (tatkala rasul itu diancam untuk direjam),
datanglah seorang lelaki dari hujung bandar
sambil berlari lalu berkata, "Wahai kaumku,
ikutilah rasul itu." (Yasin 20)
Kisah ini menunjukkan kesungguhan para
rasul menggadai nyawa, ada mati disembelih,
ada mati digergaji. Mereka tidak mengira
akibat buruk yang bakal menimpa mereka.
Mereka menggadai nyawa sekalipun untuk
menarik hanya seorang sahaja kepada Islam.
Surah ini ingin tonjolkan bahawa antara tanda
menyerah diri sepenuhnya kepada Allah ialah
meneruskan dakwah sekalipun terpaksa
menggadai nyawa.
Bagaimanakah nasib lelaki yang menerima
seruan rasul tadi?
"Setelah dia mati, dikatakan kepadanya:
'Masuklah ke dalam syurga.' Dia berkata:
'Alangkah baiknya jika kaumku mengetahui...
tentang apa yang menjadikan daku
diampunkan oleh Tuhanku dan menjadikan
daku dari orang yang dimuliakan." (Yasin26-
27)
Bagaimanakah nasib beliau jika sebaliknya
berlaku, yakni jika para rasul tersebut tidak
menggadai nyawa datang menyampaikan
dakwah?
Surah ini juga ingin tonjolkan bahawa para
rasul menyerah diri hingga maut menjemput
mereka.
Ini dia serah diri yang abadi. Sekalian
cakerawalapun tunduk patuh menyerah diri
berbakti kepada Allah tanpa henti sejak berjuta
tahun sehingga maut menjemput mereka
(kiamat)..
"Dan matahari beredar di orbit yang telah
ditetapkan (menyerah diri secara total). Begitu
(ia patuh kepada) ketentuan Tuhan Maha
Agong, Maha Mengetahui." (Yasin 38)
Matahari serah diri, patuh kepada Allah sejak
berjuta-juta tahun dahulu hingga maut
menjemputnya. Bagaimana manusia tidak
mahu menyerah dirinya kepada Allah?
"Dan bulan pula Kami tentukan peringkatperingkatnya
(dari anak bulan ke bulan penuh)
kemudian ia kembali semula menjadi anak
bulan berbentuk tandan kering, (lalu ia patuhi
apa yang Kami tentukan itu)" (Yasin 39)
Betul di sana ramai yang tidak respon kepada
penat lelah para dai, tetapi di sana juga masih
ada hati-hati yang masih hidup bersedia
menyahut seruan kepada Islam jika ada yang
menyeru.
Ini maksud surah Yasin – menghargai hati
yang hidup Sebab itu disuruh bacakan surah
Yasin kepada orang hampir mati (dalam hadis
riwayat Ahmad) – sekalipun tubuh hampir
mati, hatinya barangkali masih hidup dan
terdetik untuk menyahut seruan Islam.
Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud
Islam ialah berserah diri kepada Allah dengan
meneruskan dakwah.
Hikmat nama surah: Yasin ialah salah satu
nama Nabi s.a.w. dan Nabi s.a.w. adalah
merupakan simbol dai yang ulung yang terus
menerus berdakwah sekalipun tiada yang
respon. Beliau s.a.w. tidak kendur walau
dipukul, di baling kotoran, di curahkan perut
unta ketika solat, di baling batu hingga
berdarah dan diancam akan dibunuh.
5. Surah al-Saffat
Matlamat surah ini ialah bahawa antara
maksud serah diri ialah mematuhi perintah
Allah walaupun tidak memahami
hikmah/kebaikan perintah tersebut.
Surah ini memberikan fokus kepada contohcontoh
di kalangan para anbiya seperti Nuh a.s.
yang disuruh membina kapal besar padahal
kawasan tersebut jauh dari laut. Nabi Nuh a.s.
tetap patuh sekalipun tidak jelas hikmah dalam
suruhan tersebut.
Begitu juga dalam kisah Nabi Ibrahim a.s.
Nabi Ibrahim a.s. sangat berhajat kepada
seorang anak yang boleh meneruskan dakwah
kerana umurnya sudah melepasi 80 tahun.
Beliau tidak putus berdoa agar dikurniakan
zuriat yang soleh. Akhirnya doanya
dimakbulkan dengan kedatangan seorang anak
(Ismail a.s.) yang bersifat 'halim'.
"Lalu Kami berikan khabar gembira dengan
kedatangan seorang anak muda yang bersifat
halim." (al-Saffat 101)
Halim bererti penyabar, penyantun, tak mudah
melatah, tahan dikutuk dikeji. Yang Maha
'Halim' ialah Allah kerana ia salah satu al-
Asma al-Husna. Walaupun ada makhlukNya
yang melakukan syirik atau menghinaNya atau
mengatakan Tuhan itu tiga, Dia Maha
Penyabar tidak terus menghukum. Itu antara
maksud 'halim'.
Berbalik kepada kisah Ibrahim dan Ismail a.s.
Cuba bayangkan situasi berikut.............
Anda seorang ayah atau ibu...............
Bayangkan anda menunggu sebegitu lama, 80
tahun sebelum mendapat zuriat. Tidak pasti
berapa lama anda boleh bertahan lagi.
Mungkin esok atau lusa anda akan
mengucapkan selamat tinggal kepada dunia
yang fana' ini.
Anda mengharapkan seorang anak. Anda tidak
putus asa berdoa dan terus berdoa. Tahun
demi tahun berlalu. Akhirnya doa anda
dimakbulkan. Anda dikurniakan seorang anak
yang cukup istimewa. Anda merasa cukup
gembira. Dialah segala-galanya dalam hidup
anda.
Apatah lagi anak tersebut seorang anak yang
soleh bersifat 'halim', amat penyabar, amat
bersopan santun, tidak pernah menderhaka.
Dia menjadi kebanggaan anda. Anda
meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada
anak kesayangan anda tersebut. Dia adalah
segala-segalanya bagi anda. Anda habiskan
semua harta untuknya.
Bagaimana perasaan anda apabila tiba-tiba
setelah anak itu baru sahaja mencapai baligh,
datang perintah dari Allah bahawa anda mesti
menyembelih anak tunggal anda tersebut.
Anda telah meletakkan harapan yang begitu
tinggi kepada anak itu selama ini tetapi anak
itu akan mati tidak lama lagi.
Jika anak itu mati di medan jihad, barangkali
anda boleh menerima hakikat itu.
Jika dia mati kerana kemalangan, barangkali
anda boleh cuba terima hakikat itu walaupun ia
bukan perkara mudah.
Tetapi tidak, anak itu akan mati di tangan anda
sendiri. Anda akan menjadi ejen membunuh
anak itu.
Bagaimanakah anda boleh hidup selepas ini
dengan peristiwa hitam ini bakal menghantui
hidup anda selama hayat anda?
Tetapi Ibrahim a.s. adalah seorang yang
menyerahkan segala-galanya kepada Allah.
Apabila ayahnya (pembuat berhala)
menghinanya dan mengusirnya, dia tidak
membantah. Dia ada Allah sebagai teman.
Apabila dia di hukum bakar hidup-hidup
kerana menghancurkan berhala di
kampungnya, dia terima. Dia tahu Allah tidak
akan mensia-siakannya.
Apabila di suruh berdakwah kepada Namrud
raja zalim lagi bengis, dia laksanakan. Dia tahu
Allah akan melindunginya.
Apabila dia disuruh meninggalkan isteri
keduanya Hajar dan anaknya Ismail yang
masih kecil di tanah gersang (Mekah) tanpa
bekalan, dia taat. Dia tahu Allah tidak akan
mensia-siakan ahli keluarganya berdua.
Apabila kawasan dakwahnya meliputi kawasan
sangat luas (Ibubapa di Iraq, isteri pertama di
Palestin, isteri kedua di Mekah, berdakwah
juga di Mesir) dia tidak membantah. Dia tahu
Allah akan membantunya.
Apabila Firaun di Mesir ingin merampas isteri
pertamanya Sarah yang sangat jelita itu, dia
serah diri kepada Allah. Dia tahu Allah akan
menyelamatkannya.
Apabila dia diuji dengan tiada zuriat selama 80
tahun, dia bersabar. Dia tahu perancangan
Allah adalah yang terbaik.
Sekarang Allah mahu dia sembelih anak
kesayangannya hidup-hidup.
Tetapi arahan sembelih itu datang secara kabur
– ia datang dalam mimpi, bukan dalam jaga.
Bukannya Jibril yang datang membawa wahyu
menyuruh menyembelih anaknya. Ia cuma
suatu mimpi. Dia melihat dalam mimpi
bahawa dia menyembelih anaknya
Adakah mimpi memadai untuk dilaksanakan?
Ya, ia adalah mencukupi bagi Ibrahim a.s.
kerana dia sungguh memahami bahawa mimpi
para anbiya adalah benar dan mengandungi
suruhan yang mesti dilaksanakan.
"Maka tatkala anaknya itu sampai umur baligh
Ibrahim a.s. berkata: 'Wahai anakanda
kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat
dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu,
maka fikirkan apa pendapatmu.' Ismail a.s.
menjawab: 'Wahai ayahanda, laksanakan apa
yang diperintahkan. Insya Allah ayahanda
akan dapati daku dari orang-orang yang sabar."
(al-Saffat 102)
Rupa-rupanya bukan Ibrahim sahaja yang
menyerah dirinya kepada Allah secara total.
Si anak pun demikian juga. Tidak membantah
sedikitpun melainkan menyerah diri sematamata.
Lalu dilaksanakan segala persiapan. Datang
syaitan menghasut, Si ayah melontarnya
dengan batu, si anakpun melontarnya dengan
batu, si isteri juga melontarnya dengan batu.
Sekarang umat Islam melontar tiga jamrah
sebagai mengingati peristiwa tersebut.
Hampir sahaja pisau leher si anak, tiba-tiba
terdengar seruan.
"Setelah kedua-duanya menyerah diri dan dia
telah baringkan anaknya secara mengiring,
Kami seru: 'Wahai Ibrahim, (memadai) engkau
telah sempurnakan maksud mimpi engkau..."
(Al-Saffat 103-105)
Kenapa kita dianjurkan menyembelih korban
setiap tahun? Tidak lain supaya kita dapat
belajar dari maksud menyerah diri
sebagaimana yang diajarkan oleh Ibrahim dan
Ismail.a.s. – bahawa Islam bererti mematuhi
segala suruhan dan menjauhi segala larangan
sekalipun kita tidak memahami hikmah
disebalik suruhan/larangan tersebut.
Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud
Islam ialah tetap berserah diri kepada Allah
walaupun tidak mengetahui hikmah disebalik
suruhan/larangan.
Hikmah nama surah: Saffat bermaksud
barisan (saf) para malaikat. Sifat asasi malaikat
ialah ubudiyyah dan menyerah diri secara total
kepada Allah. Para malaikat membentuk safsaf
menunggu untuk menerima apa saja
suruhan Allah dengan tunduk patuh tanpa
sebarang bantahan. Saffat merupakan simbol
ketaatan yang syumul, simbol serah diri yang
sebenar.
6. Surah Sad
Surah Sad menceritakan bagaimana setelah
seseorang telah Islam dia masih boleh
tergelincir.
Persoalannya, adakah selepas tergelincir dia
akan kembali ke jalan lurus atau tidak?
Atau adakah dia akan terus menerus berada
dalam kegelapan kerana angkuh untuk
bertaubat? Atau terus menerus berada dalam
kegelapan kerana malu untuk kembali kepada
Allah? Atau terus menerus berada dalam
kegelapan kerana malu kepada manusia untuk
mengakui kesilapannya? Atau terus menerus
berada dalam kegelapan kerana malu untuk
membetulkan kesalahannya di depan manusia?
Surah Sad menampilkan 3 model tauladan
yang merupakan 3 nabi yang segera kembali
menyerah diri kepada Allah setelah mereka
diuji.
Surah ini juga menampilkan satu model
sempadan iaitu kisah Iblis yang angkuh tidak
mahu bertaubat setelah dia diuji,.
Ketiga-tiga nabi yang dimaksudkan iaitu Daud,
Sulaiman dan Ayyub a.s. ketiga-tiganya
dirujuk sebagai 'abd' (hamba Allah) sebagai
menunjukkan sifat ubudiyyah mereka kepada
Allah. Ketiga-tiga mereka juga dipanggil
'awwab' bermaksud 'orang yang bersegera
kembali kepada Allah.'
"Dan bersabarlah dan ambillah iktibar dari
hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan
dalam agama, sesungguhnya dia adalah orang
yang bersegera kembali kepada Kami." (Sad
17)
"Dan Kami kurniakan kepada Daud seorang
anak bernama Sulaiman. Sulaiman itu sebaikbaik
hamba (di zamannya). Sesungguhnya dia
seorang yang bersegera kembali kepada
Kami." (Sad 30)
"...Kami dapati Ayyub seorang yang sabar,
sebaik-baik hamba (di zamannya).
Sesungguhnya dia seorang yang bersegera
kepada Kami."
Daud a.s. telah memberikan suatu fatwa.
Kemudian dia merasakan dia telah membuat
kesilapan dalam memberi fatwa tersebut. Dia
segera melihat peristiwa ini sebagai suatu ujian
dari Allah.
"...Dan Daud merasakan Kami telah
mengujinya, lalu dia beristighfar kemudian
tersungkur sujud lalu kembali (bertaubat)
kepada Tuhannya." (Sad 24)
Sulaiman a.s. pula yakin akan mendapat anak
yang akan boleh dibesarkan menjadi pahlawan,
lupa menyebut Insya Allah, lalu Allah
dikurniakannya seorang anak yang tidak cukup
sifat.
"Dan sesungguhnya Kami telah menguji
Sulaiman dan Kami letakkan di atas takhtanya
suatu jasad (bayi yang tidak cukup sifat), lalu
Sulaiman kembali (bertaubat sambil merayu).
Katanya: 'Wahai Tuhanku, ampunkanlah
kesiapanku ..." (Sad 34-35)
Ayyub a.s. pula pernah bersumpah memukul
isterinya seratus kali kerana tidak melayannya
ketika dia a.s. sakit tenat.
Apabila sudah sembuh timbul rasa belas untuk
memukul isterinya tetapi pada masa sama
beliau tidak mahu melanggar sumpah.
Allah menyuruhnya supaya tetap
melaksanakan sumpahnya tetapi memukul
dengan menggunakan sesuatu yang tidak
menyakitkan.
"Dan ambil dengan tanganmu seikat jerami
dan pukullah dan jangan sekali melanggar
sumpah. Sesungguhnya Kami dapati Ayyub
seorang yang sabar. Dia sebaik-baik hamba (di
zamannya). Sesungguhnya dia seorang yang
bersegera kembali kepada Tuhannya."
Model seterusnya ialah model yang perlu
dijadikan sempadan – kisah Iblis.
Iblis diuji dengan suruhan sujud kepada Adam
a.s. lalu dia tergelincir.
Tidak seperti para anbiya yang bersegera
kembali bertaubat, Iblis terus dengan
keangkuhannya dan pelbagai alasan untuk
menegakkan benang basah.
"Hai Iblis apakah yang menghalangmu dari
turut sujud kepada Adam........"(Sad 75)
Sepatutnya apabila ditegur, dia sudah
menyedari kesilapannya dan terus kembali.
Tetapi tidak, dia terus angkuh.
"Katanya: Aku lebih baik dari Adam....."(Sad
76)
Marilah kita sama-sama kibar bendera putih,
surrender serah diri kepada Allah khususnya
setelah ditegur.
Apabila berlaku malapetaka (yang merupakan
teguran Allah kepada kita) bersegeralah kibar
bendera putih mengaku kelemahan kita.
Jangan berkata aku akan lakukan itu dan ini,
baiki itu dan ini, bina itu dan ini supaya
bencana ini tidak berlaku lagi, supaya tahun
depan banjir tidak berlaku lagi, supaya tahun
depan tanah tidak akan runtuh lagi. Percayalah
Allah akan menghantar bala bencana yang
lebih besar selagi kita tidak surrender.
Oleh itu, surrender dulu, serah diri dulu, baru
fikir macamana nak selesai masalah!!!!!!!!!!
Kesimpulan bagi surah Sad ialah bahawa
antara maksud Islam ialah berserah diri kepada
Allah dengan segera kembali (bertaubat) bila
tergelincir.
Wallahu a’lam.
Posted by Mr Zero at 12:09 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment